Monday, January 17, 2011

PULANG


Dia sudah ditempatkan di wad pengasingan ICU GH sejak Jumaat. Dan semua pelawatnya kini dibenarkan masuk melawat tanpa mengira waktu.

“Keadaan dah makin kritikal. Doktor dah tak boleh buat apa-apa. Ketumbuhan tu makin besar. Sampai tutup saluran pernafasan dalam paru-paru dia”

Itu butir bicara kakak dia yang sempat saya tangkap waktu sama-sama melangkah ke wad dia hari Sabtu lepas. Di pintu masuk wad, saya lihat bonda mendahului. Bersalam dengan wanita seusianya yang lemah duduk di tepi pintu. Salam yang disusuli dengan dakapan erat dan kuat seakan menyalurkan seribu satu rasa. Simpati. Sedih. Sebak. Sabar. Kuat.

Dan dia.

Dia terbaring di atas katil. Cengkung. Pucat. Mata terpejam. Wayar berselirat di badan yang disambung pada satu mesin yang asyik berbunyi.

Dan bunyi mesin itu. Ah, saya terlalu tak suka pada bunyi mesin ini. Juga tak suka kepada angka yang terpapar.

“Mesin ini digunakan untuk kita memantau degupan jantung pesakit. Angka yang terpapar itu ialah bilangan degupan jantung pesakit dalam satu minit”

Saya ingat lagi penerangan Dr Lim dulu. Waktu saya masih bersekolah. Waktu seronok-seronok mengikut lawatan ke hospital.

Tapi melihat mesin yang sama kali ini lansung tidak seronok. Bunyinya menguatkan resah. Menambahkan getaran emosi pada semua yang ada di dalam bilik itu.

Empat kerusi plastik di sekeliling dia setia diisi oleh empat orang muslim yang bergilir membacakan Yaasin. Alunan Yaasin dalam sendu. Bacaan kalimah Syahadah yang lembut di telinga dia. Bunyi mesin yang membingit hati. Jangan pandang mata sesiapa. Nanti orang akan nampak mata kamu merah berair dan kamu pun akan tahu yang mata orang itu juga merah berair. Tapi siapa lagi yang mahu peduli dengan mata merah kamu. Tiada siapa. Menangis hingga luntur maskara sekalipun tiada siapa yang akan bertanya. Yaasin tetap kedengaran. Kalimah Syahadah itu tetap beralun. Dan mesin itu, mesin itu tetap berbunyi. Malah makin rancak.

Angka yang bermula dengan 130 mula menurun kepada 100. 97. 70. 65. 40. Ada ketikanya ia naik mendadak hingga mencecah 165 tapi kemudiannya menjunam turun ke 33. Saya paksa diri untuk tidak memandang pada angka mesin. Paksa diri untuk abaikan bunyi mesin itu. Yaasin sudah makin surut. Kalimah Allah pula mengganti. Dibisikkan di cuping telinganya dengan lembut. Tapi suara lembut dan sayu tu buat semua hati yang mendengar makin menangis.

Dan surah Al Fatihah kedengaran sayup-sayup. Dalam sendu. Diiring air mata yang makin berlinang. Mata yang merah membasah. Esakan yang makin kuat. Semua disitu bagaikan dalam dunia sendiri termasuk saya. Saya sudah tidak pandang apa yang adik saya buat di luar bilik. Saya sudah tidak pandang pada semua yang hadir dan mula memenuhi ruang billik. Saya leka dengan al Fatihah saya hingga saya tak sedar sejak bila angka pada mesin itu terpapar 0.

Kosong.

Doktor muda yang datang memeriksa hanya senyum pahit. Bersuara perlahan. Sangat perlahan. Tapi saya nampak gerak bibir dia dan saya faham gelengan kepalanya.

“Dia dah tak ada”

Akhir.

Dia pulang. Dijemput di hadapan keluarga dan rakan-rakan yang tak putus-putus mendoakan dia hingga hujung nyawa.

Dia pulang. Dijemput saat matahari seharusnya memancar tegak di atas kepala tapi dillitupi awan mendung dan dibalut dengan angin sejuk.

Dia pulang. Dijemput dalam umur yang masih muda seawal 22 tahun. Memenuhi janji Tuhan yang mati itu tak akan awal dan tak akan lewat mahupun sesaat.

Dan kami pulang. Dengan kehilangan dia. Dengan rasa sedih yang meruntun. Dengan rasa sebak yang mengharu. Dengan doa agar dia tenang di sana.

Alfatihah

untuk Sufri Ramli

5 comments:

drAgoThiC said...

Takziah buat keluarganya....

Cik Kopi said...

Sangat sedih membaca posting ini.

Digarap dengan baik sekali...

Takziah buat Rena sekeluarga~

Aan Andes said...

Takziah...

Hmm u were there masa he stopped to breath..I cant imagine the feeling, but I know mesti sedih sangat. Hang on ok Rena. Banyak2 la kita sedekah alfatihah utk arwah. Moga arwah dirahmati Allah..

Anonymous said...

bukan semua orang dapat berada dekat dengan malaikat izrail tapi bukan nyawa dia yang dicabut waktu itu

my deepest condolences to u n ur family


-anil

rena said...

tq..