Thursday, December 30, 2010

penangan senyum adik McD

esok dapat cuti. terima kasih adik-adik yang bermain bola sekalian. sila main dengan bersungguh-sungguh lagi supaya akak dapat cuti macam ni lagi yer..

sebab cuti ehsan bermula esok maka hanya akan masuk ofis tahun depan. wah wah.. macam berlagak saja bunyinya. cuti sampai tahun depan. macam la tahun depan masuk kerja terus naik pangkat dan naik gaji. padahal kerja sama jugak malah sekarang ni bertimbun-timbun macam tak mahu surut walaupun dah buat dengan banyak. cepat sangat membiak.

sudah hampir sangat-sangat untuk memberi lambaian tata dan babai dan selamat tinggal kepada tahun 2010. dan harus pula berlatih untuk memberikan senyuman paling manis dan paling brilliant untuk tahun 2011. kena senyum dengan penuh mesra supaya 2011 tak takut untuk datang. senyuman peramah seperti kepunyaan adik yang menjaga kaunter McDonald petang semalam. senyum jer dia walaupun rena dah umpama kanak-kanak yang dapat duit raya tanpa disangka-sangka banyaknya. lepas cakap "dah, itu saja" tapi tengok-tengok jumlah perlu dibayar kurang dari duit di tangan maka mintak tambah order apple pie dua. lepas tu dalam kiraan tiga saat mintak pulak tambah sundae strawberry. dan lepas tu bila adik tu ambik cawan nak isi air boleh pulak jerit "ais kurang yer dik" hmmphh!! banyak songeh betul kakak rena ni. tapi baik sungguh adik McD ni. dia senyum jer. yer, senyum itulah yang kita cari. senyum ramah yang sungguh friendly. maka hati pun riang gembira. aww!!

sebab hati dah menjadi riang penangan senyum ramah adik McD maka hati hanya redha bila tren berproblem semalam. malas nak berebut-rebut dan bersusah payah. lalu hanya duduk di bench dan main game sambil senyum-senyum bila menang. hebat kan penangan senyuman adik Mcd tu. sampai tak boleh berhenti nak senyum. dan tak tahu pula bila dah naik tren akan terserempak dengan art yang baca novel arenawati yang lama sangat-sangat saya ingat sebab saya baca novel itu banyak-banyak tahun yang lepas. tak per art, teruskan membaca. pakcik sebelah saya semalam pun baca buku. saya jer sorang-sorang duduk tengah-tengah and peluk paperbag McD dan beg Bali berserat pelepah pisang berbunga besar. sambil senyum manis dan brilliant. NGEE!!!
selamat tahun baru 2011. jangan tinggal terus 2010. nanti dia merajuk. kalau dia merajuk siapa nak pujuk??

Wednesday, December 22, 2010

how FB can ruin ur relationship

he says: parent i konservatif skt. gf i moden. moden sgt. even tgk her dressing pon mak i dah tak suka.

I say: hmm.. penah bincang dgn ur gf pasal ni?

he says: dahhhh,,i suruh dia letak pic sopan2 skt kat fb tu. dia ckp kat i tak open minded plak

I say: mak u ada fb?? whoaaa!!! (smiley mulut boolat dua bijik di sini)




ok, sorry. tak boleh tahan untuk ter"impressed" sedikit di situ.

Tuesday, December 21, 2010

sayang

saya tak lari
cuma bumi ini berputar
dan bawa saya jauh dari kamu

Friday, December 17, 2010

happy 35th

semalam hari lahir wanita kegemaran. penuh kegembiraan dia menyambut hari lahir. penuh keseronokan membeli hadiah untuk diri sendiri. sudahlah hadiah bukan calang-calang. semuanya sebesar saiz diri sendiri dan sebesar saiz anak sendiri. sungguh mendengki rasanya.

hmmphh!!




motif letak umur wanita kegemaran ialah tak lain dan tak bukan iaitu dengki.

huh, puas hati beta!!

Friday, December 10, 2010

penutup jumaat

untuk jumaat yang berikonkan air soya dan susu pekat manis, saya mohon agar semuanya berjalan lancar esok hari. amiinn...

Friday, December 03, 2010

untuk december yang baru sampai

selamat datang december yang meriah. selamat datang hari-hari lahir yang perlu dirai dengan meriah. selamat datang belanjawan extra untuk membeli hadiah hari lahir yang meriah. selamat datang rasa gembira bila melihat keraian hari lahir yang meriah. selamat datang rasa sedih yang sentiasa ada tapi cepat-cepat ditopengkan dengan rasa suka hati riang ria maka rasa sedih tak dapat nak dominan.

selamat datang bakal tahun baru. selamat datang bakal ahli keluarga baru. selamat datang flat screen yang membolehkan saya lihat orang-orang dengan pandangan mata ikan dan mata burung. hingga dapat lihat dia sedang bersembang dengan kakak otai. alahai, sukanya pemandangan ini.

loceng december dah mula berbunyi amaran kaler merah. maka perlu menjalani hari hari tanpa sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan. saya dah mula biasa. kata hattan, hidup ini mudah. jangan diberat-beratkan. hidup memang sedap, itu kata Walls. hidup saya cantik. itu kata saya. ngee!!

bergaduh dengan adek manis kini sudah menjadi biasa. seperti rutin harian hari-hari bekerja. kadang-kadang agak menyeronokkan sebab bila saya menang dapat merasakan aura tak puas hati dia berkeliaran dalam atmosfera kegembiraan saya. tapi bila dia yang menang bertalu-talu saya terpaksa membiarkan dia riak bagak dan memujuk hati supaya berusaha lebih gigih untuk menang dalam pergaduhan yang seterusnya. bosan sebenarnya memujuk hati sendiri. sebab memujuk tanpa sebarang hadiah haruslah berasa bosan. tapi bila adek manis tiada juga agak membosankan. maka tak tahu sebenarnya apa yang buat saya bosan. bergaduh dengan dia atau tak bergaduh lansung dengan dia.

hmm.. mahu cari adek manis. saya tak betah jadi gadis sopan yang tak bergaduh dengan dia. nanti saya tak lalu makan nasi.

Monday, November 22, 2010

t e a s e r

saya betul-betul ni. serius and tak main-main. awak akan dapat ini. warna ikut suka hati.

Monday, November 08, 2010

suka hati la bila nak suka hati

Fly the ocean
In a silver plane
See the jungle
When it's wet with rain
Just remember till
You're home again
You belong to me
~jason wade

sebab suka sangat tengok Shrek terus tersuka dengan lagu ini. Dan kemudian tersuka dengan suara Jason Wade. hmm, sebenarnya dah lama suka bila dia menyanyi lagu Everything dan lagu You & Me. tapi itu suka band Lifehouse. tapi yang ini suka Jason Wade. tapi sebab Jason Wade penyanyi band Lifehouse, memangla suka dua-dua sekali. owh, suka Shrek hijau besau juga. suka Fiona yang jadi princess. suka Shrek dengan Fiona. suka donkey mulut banyak yang kadang-kadang comel tapi kadang-kadang menyampah.

suka bila "being home again"
sebab "you belong to me"
hmm..

Thursday, November 04, 2010

november bulan penuh

SELAMAT PULANG!! dan SELAMAT DATANG!!





entri sekarang asyik hanya diri sendiri yang faham. menyampah!!

Monday, November 01, 2010

itula...

kenapa suka panjat pokok tu tinggi-tinggi, sekarang kan sakit bila jatuh..

Tuesday, October 19, 2010

TQ Note

mahu tabur gula atas awan gemok gebu biar jadi gula gula kapas gergasi.


terima kasih untuk hari yang manis.

Monday, October 18, 2010

George Soros (bukan nama sebenar)

kadang-kadang saya rasa dia ini mempunyai kromosom pelik ataupun punya genetik tambahan makhluk lain. sifat terujanya itu terlalu pelik bagi seorang manusia normal. dia lahir tak cukup bulan. itu cerita ibunya, waktu dia lahir saiz badannya hanya sebesar botol kicap. mungkin faktor tak cukup bulan itu buat dia jadi begitu.

hmm.. botol kicap.. keciknya dia..

Thursday, October 07, 2010

Fair Enuff

Expecting the world to treat you fairly coz you are a good person is like expecting the lion not to attack you coz you are a vegetarian



kalau dah rezeki, mesti dapat juga kan?

gigit jari, pandang awan, tunggu bintang

Monday, September 20, 2010

sesat

"sesat itu hanya dalam fikiran, cuba nikmati saat-saat mencari itu."



yer, saat-saat itu pasti bernilai kalau minyak dalam kereta penuh dan telefon tak kena bar and signboard betul-betul membantu meskipun hujan lebat.

Monday, September 13, 2010

depresi dia

"merasakan yang langit dan bumi ini saling menghentam dan menggasak
jauh masuk ke dalam
menggugat setiap hela nafas
hingga meyesakkan dada "

sila bersabar lebih sikit dari biasa

syawal 1431H

Saturday, September 11, 2010

cerita Qashah

this is qashah a few hours lepas lahir. the daddy dengan bersungguh-sungguh snap pic and hantar ke semua adik beradik

and this is qashah masa zaman pantang memantang dengan baju PLKN hadiah dari cik dyan aka baju raya


and bila dia dah besar sikit, kepala dia botak sebab kena cukur dengan ayah dia

pastu bila kakak anis sambut 2nd birthday, qashah baru pandai duduk dalam walker


and capai semua barang-barang atas almari wan (including gam UHU cikna)


sekejap je kan? 1 syawal 1431H, Qashah dah setahun.

Friday, September 03, 2010

e card raya

pucuk dicita ulam mendatang, meskipun jarang makan pucuk-pucuk kayu namun rajin juga makan ulam timun, bila orang dah bagi, ambik saja rezeki yang tersedia.

ini ialah kad raya kad paling pink sepanjang saya berhari raya.

aksess kepada kad raya pink striking yang tak perlu dibuka dengan lipatan kertas tapi hanya pelu dibuka dengan satu klik disini



kan saya dah cakap, warna ialah pink striking sangat-sangat!!


SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
MAAF DIATAS WARNA PINK STRIKING KAD INI
MAAF SEBAB HANYA E CARD
MAAF ZAHIR BATIN

Wednesday, September 01, 2010

harap maaf

cakap apa saja soal hati, soal jiwa, soal cinta.
tajuk entri ini tetap sama.
sila faham sepenuh hati.

ok, itu saja.



/penat berbahasa dan berbudi bahasa

Friday, August 13, 2010

P E R L U

bila bilik saya terpaksa dikosongkan dengan alasan persiapan kerja kawen, saya perlu menumpang di bilik lain. hmm, bukan bilik lain. tapi bilik-bilik lain.

jadi, setiap pagi kerja ialah pagi yang perlu banyak acara keluar masuk bilik. tidur di bilik kakak, membuat pilihan baju kerja di bilik saya iron baju di bilik kakak. solat subuh di bilik abang, dan akhir sekali ukur simetri tudung dan pilih warna lipstick di ruang tengah. tak cukup dengan bilik, hall kecik tu pun nak takluk. satu-satunya bilik yang saya tak kacau ialah bilik heri. itupun ada juga satu kotak 'barang-barang permainan' saya dalam bilik dia. hahaha..

sungguh suka menjual ikan. bilik sendiri hanya digunakan untuk pilih baju. semestinya bilik tetap kemas dan cantik berseri-seri. segala tujuan hal lain-lain, telah mengguna bilik kakak dan abang. maka, segala barang-barang semak samun seperti charger, buku nota, beg, kotak treasure hunt, tong sampah, selimut extra, bantal extra, anak patung yang berkumpul bak sesi fire drill, semuanya turut menumpang kasih bilik kakak.

seronok juga memeriahkan bilik-bilik kosong milik kakak dan abang sebenarnya. sebab bilik itu hanya berpenghuni lebih kurang sebulan sekali dan setiap kali melakukan 5s tingkat atas, semua bilik perlu dicuci dan dimop. terasa sungguh rugi bila gagal tidur di bilik yang suci murni disukai ramai.

tapi esok sudah buat keputusan pindah masuk bilik sendiri. dah penat berjalan keliling rumah mencari hairband ataupun jarum peniti untuk pin tudung. bila tinggalkan di bilik abang,suka sangat mencari di bilik kakak. bila penat, terus kensel pakai tudung belit-belit dan pin-pin. terus jadi tak lawa sepertimana yang diimpikan.

ESOK PERLU.

perlu puggah semua baju masuk dalam almari, perlu lipat semua selimut, perlu lapik balik cadar bilik kakak, perlu susun semua bekas-bekas hantaran, perlu cari ruang kosong untuk simpan bunga telur, perlu cuci kipas, perlu lap tingkap, perlu jemur bantal, perlu vacuum bilik abangs ebab si kecik tu cepat sangat bersin kalau ada habuk, perlu kemas hall supaya nampak macam hall dan bermacam perlu lagi.

PERLU PUASA

Thursday, August 12, 2010

harapan

berharap pulang hari ini disambut dengan sup ikan merah.

Wednesday, August 11, 2010

2 3 4

ada orang tegur, ticker lady bugs hari ini cantik: 2 bulan 3 minggu 4 hari.

hmm.. cantik eh?
cantik itu descriptive. kalau kamu tahu apa yang sedang berkejar-kejar dalam kepala saya untuk 2 bulan 3 minngu 4 hari ini, mungkin kamu akan menyesal cakap ticker hari ini cantik.

"my brain is itching and is trying to crawl out of my skull"


hahaha.. kita tolak tepi dulu soal nikah kawen. mari kita berpuasa dulu. hoyee!!!


sebagai seorang anak yang baik, saya janji dengan bonda nak bangun prepare sahur pukul 4 sama-sama dengan bonda. last-last hanya tersedar bila shah called and then disusuli dengan bunyi pintu kena ketuk oleh che amid sebagai tanda kejut sahur and it was 4.45 already. janji tinggal janji. cepat-cepat bangun basuh muka dan gosok gigi dan lari-lari turun tangga. mujur bonda belum ambik pinggan dan gelas, maka sempat juga tolong bonda prepare sahur dengan menambil pinggan nasi dan gelas untuk semua orang. ngee!!

serius tak comel kalau buat perangai macam ini di rumah bapak mentua. hmmphh!!!

Tuesday, August 10, 2010

sambal tempoyak dan somtam

semua orang bermuka senang hati hasil dari potluck semalam. bahana makanan yang sangat-sangat terlebih banyak semalam, pakcik cafe merajuk tak mahu meniaga hari ini. hasilnya, semua orang terpaks cari sumber makanan yang lain. mula merindui kejadian potluck semalam. menyesal sebab tak makan ayam goreng cicah dengan sambal tempoyak.

saya teruja menunggu somtam mulai esok.

Selamat Puasa Semua!!

Friday, July 16, 2010

sama sama saja

bukan semua orang akan faham apa yang kita cakap
bukan semua orang akan ingat apa yang mereka janji
bukan semua orang akan tahu apa yang kita rasa
bukan semua orang faham kita

kamu faham dia?




sama saja kan?

Wednesday, July 14, 2010

bonda

pagi kelmarin bonda bercerita tentang khemah dan kerusi meja

pagi semalam dia bercerita tentang kain net untuk door gift

pagi tadi dia buka pula cerita tentang cat bilik

dan semua cerita 5-10 minit dia akan berkesudahan dengan ayat "nanti hujung minggu ni tengok-tengokla nak buat macam mana"

hmm... itu ayat warning sebenarnya. sebab sudah dua minggu berturut hujung minggu saya penuh dengan aktiviti poya-poya muda-mudi yang lansung tak de kaitan dengan persiapan kahwin.


yer, baiklah. hujung minggu ini saya mula belek-belek majalah pengantin.

ngee!!

Friday, July 09, 2010

3 years

and counting..

Thursday, July 08, 2010

aktiviti saya

saya dah banyak kali ulang aktiviti ini

sign in blog - klik new post - type - tekan delete - duduk diam-diam ngadap pc - type balik - tekan delete lagi - duduk diam-diam lagi - klik sign out - then ulang balik ativiti mula-mula tadi

sebab tu entri ni jadi macam ni

Monday, July 05, 2010

hmm..

berlagak umpama langit itu dia yang junjung

Tuesday, June 29, 2010

b u l a n

cik bulan,

jangan gopoh-gopoh mengambang.

pungguk tetap tunggu kamu.



lagi 4 bulan.

Thursday, June 17, 2010

SOGO Sale part I

SOGO sale lagi bermula esok tapi blog lansung tak update-update pasal sale hari tu. Maka, hari ini ialah hari mengupdate entri.

Saya suka keluar dengan bonda sebab dia suka buat semua benda awal. Keluar shopping pun dia suka keluar awal-awal. Sampai Sogo dalam jam 11. Orang tak ramai and selesa nak pusing-pusing and belek-belek. Dua kali tawaf Beddings Department dan puas belek banyak-banyak kali and siap request bukak and pasang kat katil display, at last jumpa jugak bedsheet yang cantik di mata saya dan bonda. harga pun ok a.k.a masih dalam budget saya, terus beli. maka bermulalah kesengsaraan mengangkut plastik beg yang besar tu. banyak kali terlanggar kaki orang ramai. dan banyak kali mengucapkan kata maaf "eh, sorry.. tak perasan." paling kesian kat makcik tudung corak-corak rimau bintang, dia baru jer tunduk-tunduk pilih senduk. terkejut terus terlepas senduk kat tangan. siap keluar latah-latah comel. hahahaha!!. itu baru kena langgar dgn comforter dekat kaki. kalau langgar kat pipi mesti muka blushing. ampun yer makcik, tak sengaja.. hmm, kita tulis pendek-pendek je lah yer.. malas nak karang ayat.

1:
Transport yang selamat untuk keluar jalan-jalan hari minggu ialah tren. Sebab tak perlu rasa bersalah pada jalan raya sebab pijak dia lama-lama dengan tayar kereta. And also tak perlu rasa takut pada jam dan juga harga tiket parking. Lagipun saya suka bawak bonda naik tren. Boleh cerita macam-macam dengan dia sebab saya tak perlu pegang stereng kereta sebab kalau saya pegang stereng saya jadi tak banyak cakap dan muka pun serius sebab fokus bawak kereta. Konon!!

2:
SOGO masih lagi sama. Saya ingatkan bila dah lama tak pergi dia akan tumbuh sayap-sayap @ wing baru. Tapi rupa-rupanya tidak. Maka tiada sebarang masalah sesat atau tak jumpa pintu keluar. Tapi kalau sesat pun bonda mesti suka. Setiap tapak kaki melangkah ada Sale. Muka senyum riang. Hati bunga riang. Balik rumah dan lenguh kaki harus menyesal. Tapi kena ngomel diam-diam nanti kena bebel-bebel manja oleh Che Amid.

3:
Tren ialah pengangkutan yang bagus untuk pergi sahaja. Sebab bila balik, kamu dah bertukar menjadi monster pokok krismas yang penuh dengan plastik-plastik yang bergantungan di tangan kiri dan tangan kanan. Hohoho!! Merry Christmas!! Merry Christmas!! (sambil goncang loceng)

4:
Ruang legar tingkat bawah SOGO sengaja dilambak-lambak baju budak-budak dan murah-murah, bonda banyak kali tergoda dengan harga baju-baju comel untuk cucu-cucu dia. belek blouse untuk anisha. belek jeans untuk haiqal. belek romper untuk qashah. sampaikan saya rasa macam mahu jadi cucu bonda juga. nanti boleh mintak baju, kasut, handbeg, jeans, perfume, jam dan eskrim gelato. NGEE!!

5:
Waktu kami selesai shopping, orang baru ramai. kan dah cakap, bagusnya keluar dengan bonda ialah bila buat kerja awal-awal maka boleh buat kerja banyak lagi. Balik rumah, belek-belek barang, makan, rehat and petang tu keluar lagi pergi tailor.

itu saja. second entry pasal SOGO sale akan menyusul.


Friday, May 21, 2010

hampir mengalah

bile tengok entri terakhir ditulis pada bulan lepas. saya rasa saya hampir kalah pada game "Workload vs Blog" ni...



oh, tak boleh!! tak boleh!!

kena perlu lebih bijak menguruskan badan (hmm???) hahaha..
ok, sebenarnya kena lebih bijak menguruskan masa supaya boleh berblog seperti dulu

step pertama untuk lebih bijak : tenangkan fikiran dengan bawak bonda pergi sale SOGO esok

Friday, April 09, 2010

dia kagum giler dengan iPad dia yang sangat futuristik

"Whoever lost a paperclip, in the vicinity of the office today, please drop by R****u's table to collect it.

Sent from my iPad"

dia hantar emel ni ptg2 sebelum balik. from his iPad. his new iPad

ok, it is an iPad. so, dimaafkan.

and furthermore, he is my CEO.

bertambah tambah terpaksa di maafkan juga.


one of the reason i love being here : my CEO is RAWKS!!!!

Thursday, April 08, 2010

emel saya bagus bangat hari ini

emel problem. Yeay!!!

tapi saya tahu, kalau esok emel ok, mesti bertindan tinda emel masuk. takper, itu cerita esok. cerita hari ini ialah duduk comel-comel depan pc, surf internet, main game dan makan kerepek pisang kak roy.

Wednesday, April 07, 2010

Cik Kiah

Saya rasa seperti seorang Cik Kiah lenggang yang suka jalan berlenggang lenggang kangkung dari rumah ke rumah, kedai ke kedai, balairaya ke balairaya, pusat komuniti ke pusat komuniti untuk mengumpul dan meghebahkan semua berita terbaru dan hot sampaikan tak sempat untuk balik rumah dan tanak nasi serta masak ikan asam pedas untuk ahli keluarga yang tersayang. Statement terakhir tu agak tipu sebab kalau betul Cik Kiah sayang ahli keluarga dia, mesti dia ingatn untuk tanak nasi dan masak ikan asam pedas. hmm..

Tak. Tak. Bukan. Dia sayang ahli keluarga dia. Bukti : Dia mesti balik rumah dia untuk tidur. Cuma dia seronok kumpul berita terbaru dan hot. Macam orang yang suka kumpul fridge magnet setiap tempat yang dia pergi and lagi gigih bila sanggup kirimkan pada sape-sape yang pergi mana-mana untuk belikan dia fridge magnet. Macam tu lah juga ikatan perhubungan antara Cik Kiah dan berita hot.

Mungkin kalau Cik Kiah masak siap-siap sebelum keluar berlenggang, ahli keluarga tersayang dia akan rasa lebih di sayangi. Dan walaupun asam pedas terlebih masam atau nasi terlebih air, tak apalah kot. Sebab kasih sayang itu boleh direalisasikan dalam apa jua bentuk tindakan samada berbentuk bulat, empat segi atau bujur. Main-main. Sebenarnya boleh ditunjukkan dalam bentuk memasak makan kegemaran semua orang walaupun tak berapa sedap ataupun tolong kutip semua baju kotor orang tersayang dan tolong basuh dan tolong jemur dan tolong lipat dan tolong simpan dalam gobok baju. Lama tak pakai perkataan ‘gobok’. dari tadi sebenarnya memaksa diri mencipta ayat menggunakan perkataan GOBOK dan akhirnya berjaya!!

Sambung kembali bentuk-bentuk menzahirkan kasih sayang. Boleh juga membelikan hadiah-hadiah yang disukai ataupun menyokong apa saja kegemaran orang tersayang. Dalam konteks cerita Cik Kiah ini, ahli keluarga dia boleh menemankan Cik Kiah melakukan road tour sebagai tanda sokongan mereka terhadap kegemaran Cik Kiah dan menunjukkan yang mereka juga sayang kepasa Cik Kiah.

Hmm.. Cik Kiah, Cik Kiah.

Tiba-tiba rasa dah jauh terpesong dengan cerita Cik Kiah. Dan disebabkan selalu mendengar pepatah orang-orang tua, maka cepat-cepat buat u turn untuk pulang ke pangkal jalan.

Tujuan sebenar saya tulis entri ini ialah nak bagitahu saya jarang update blog sebab saya seronok lompat-lompat blog orang lain. Macam Cik Kiah yang seronok-seronok buat road tour sampai tak sempat nak tanak nasi dan masak ikan asam pedas. Tapi, walaupun dia tak sempat tanak nasi untuk ahli keluarga dia, tapi dia sayang dan ingat ahli keluarga dia. Saya pun sama. Masih lagi masuk blog kamu semua tapi tak sempat tinggalkan kesan tapak kaki.

Thursday, April 01, 2010

Ida punya pasal

mula-mula tadi saya nak cerita pasal bunga stoking bonda yang warna hijau dan penuh riben.

tapi baru saja nak mula dengan tajuk yang comel n cute, tiba-tiba Ida lalu.

ok, dia bukan saja lalu, tapi dia stop belakang saya.

membebel pasal keje yang banyak dan berlambak.

sampai dia tak sempat nak buat keje lain melainkan keje opis.

kemudian dia berlalu sambil mulut masih belum berhenti membebel.

terus tak jadi buat entri comel untuk Jake and the beanstalk (Jake is bonda n the beanstalk is bunga stoking warna hijau)

jadi, sila marah Ida sebab entri petang ni tidak menjadi seperti yang sepatutnya.

Monday, March 29, 2010

kejayaan

belon warna warni dah mula terbang

cat nippon bulat-bulat yang dalm iklan tu pun dah mula menari-nari

awan dah mula menggebu-gebu

VIVA MERAH DAH OK!!!

terima kasih pada abg bob pomen yang memang smooth giler buat keje dan bersuara nyaring. serius, suara dia memang nyaring. sudahlah bercakap kuat, sampaikan che amid pun terpaksa mendoublekan jarak kedudukan dia bila berhadapn dengan abg bob. che amid memang peka dengan kondisi yang boleh membahayakan gegendang telinga dia. tapi dia lagi peka dengan resah anak pompuan dia ni. pukul 6pm dah ajak pergi workshop abg bob walaupun dah berkali-kali abg bob pesan nanti bila kete siap dia akan telefon. hasilnya, terpaksa tunggu sejam lebih sebab abg bob baru nak polish viva masa kami sampai.
apalah sangat sejam lebih tu.. demi viva merah, seminggu pun saya sanggup berkhemah kat workshop abg bob (kalau che amid bagi la n kalau bonda sanggup buat nasi goreng ikan bilis tiap-tiap ari)

Friday, March 26, 2010

resah

viva merah dah masuk operation room pagi tadi




kalau boleh saya nak telefon abg pomen tu setiap sepuluh minit

Monday, March 22, 2010

cameron trip

luka tapi cepat sembuh.

Friday, March 05, 2010

Pari-pari kacak, kau guris hatiku

Bahana menyombong dengan pc rumah sampai keyboard pun macam bosan dan macam malas-malas nak keluar huruf bila saya type. sila padan muka sendiri sebab dah lama sangat-sangat tak main game dengan keyboard ni sampai jari-jari dah tak punya pertalian ala-ala avatar dengan keyboard. Hmmphh!!!

Kita tolak tepi dulu citer-citer tentang baju pengantin, hantaran, bunga telur,kanopi dan kerusi meja (sebab saya tak buat pape pun lagi sebenarnya) mari kita berkongsi cerita lain.

Viva merah kena rempuh. .

TAK SUKA (saya harap ada font yang lebih besar dan warna merah yang lebih merah untuk ayat ini)

Side skirting tergores dengan teruk sampai tahap keyakinan melonjak-lonjak akan menang kalau masuk pertandingan Gores dan Menang. Bahagian bawah pintu belakang kemik. Cat tertanggal sampai nampak besi kaler putih. Kalau Viva Merah ini ialah seorang yang bernyawa tapi bukan sotong, mesti luka dia ibarat ‘luka sampai nampak tulang kering’(read: tulang sotong bukan warna putih tapi transparent)

Tak tahu kenapa boleh menangis teresak esak bila sampai rumah padahal lepas kena tu, masih boleh drive sambil dengar radio. Agak buruk rasanya muka ketika itu.Sudahlah posisi duduk ialah mencangkung sambil jari mengusap-ngusap tempat kemik. Tambah-tambah lagi bila bonda keluar bertanya kenapa dan che amid pulak keluar dengan uniform selepas mandi, bertambah teresak-esak sampai hanya mampu jawab “motor rempuh masa nak u turn. dia lari” Macam la ada teori “Kalau bersedih sebab kereta kemik hingga menitiskan air mata dalam jumlah yang besar, terus kereta akan tak kemik serta cat pun terus ok.” Penuh angan-angan Sleeping Beauty.

Tapi bila che amid bertukar menjadi Inspektor Shahab dan soal siasat bagi signal ke tak sebelum U turn, jawab dengan yakin “Ya!!” sebab bunyi signal itu ialah bunyi terakhir yang didengar sebelum dengar bunyi pelik dan rasa gegaran yang tiba-tiba dan baru nampak ada seorang budak motor di sebelah tengah senget-sengat atas motor sambil fikir “Oh, kacaknya dia. Dari mana sang pari-pari kacak ini datang?” Penuh keterujaan. Ok, ok. Sebenarnya tak fikir pasal pari-pari kacak tu. Tapi hanya fikir macam mana motor ni boleh ada kat sini? Sebab tadi masa nak u turn dah tengok side mirror and it is clear. Terus tekan brek. Dan si motor kacak pun berjaya mendapat keseimbangan badan balik dan terus melalui depan Viva. Meninggalkan saya yang terpana dan terpaku dengan wajah kacak dia. Wuuuuu!!! Oh, dan tak lupa juga meninggalkan kesan yang mendalam pada Viva merah saya.

So that’s it. Viva merah dah comot. Benda dah jadi. Nak mintak gantirugi pun si pari-pari kacak dan blah awal-awal. Nak ketuk sendiri, saya hanya ada tukul kecik. Nak cat sendiri, saya hanya ada Buncho merah yang bukan metallic. Maka, serah saja pada abang pomen. Tapi dengan lampiran kertas berkepala Agung.

Tarik nafas. Hembus. Senyum. Redha.

S E K O L A H

sejak isnin minggu lepas saya asyik berharap supaya lokasi koordinat 8.30-5.30 saya ini dipanggil SEKOLAH.

sebab bila ianya ialah SEKOLAH, saya boleh balik dan bercerita pada che amid dan bonda yang SEKOLAH sekarang kurang best dan banyak kerja, dan banyak aktiviti ko-k, dan banyak game putar belit macam snake and leader, dan makanan kat kantin asyik sama jer dan pengawas pun sama nakal dengan budak nakal kat SEKOLAH tu. maka saya boleh pujuk bonda dan che amid untuk tukarkan saya ke SEKOLAH lain. (yeay, dalam diam)

tapi rupa-rupanya ia ialah bukan SEKOLAH. maka, saya tak boleh tukar SEKOLAH.

HMMPHH!!! sedikit kecewa dengan harapan yang termusnah ini

Friday, February 12, 2010

surat terbuka untuk bos paling besar saya

dear bro,
walaupun hari ni dah ramai orang melayu yang cuti sebab orang cina nak raya tapi kita satu malaysia.. tak kirala siapa nak raya, kita mesti cuti kan? kan? kan? tapi mesin atm kat bawah tu macam dah takde waktu rehat. hmm.. kesian. tapi kitorang lagi kesian bila terima emel separuh nyawa u semalam . dah macam tinggal separuh nafas masa tu.

tapi, email sepenuh nyawa u semalam memang gempak. serius gempak. and kitorang pun baca sepenuh jiwa . yer, yer.. kitorang tau yang kitorang rocks. kitorang dah pernah cuba dondang sayang dan zapin melayu tapi semua tak jalan. sebab tu bila Amy Search datang nyanyi masa Family Day ari tu kitorang semua pakat nyanyi lagu Isabella sama-sama (and kuat-kuat).

bro,
dalam forum ada sorang ahli rock u cakap yang "he looooves to have the crazy guy like u to lead us". nasib baik forum boleh pakai nickname. kalau tak harus i cari muka ahli rock ni and tengok muka dia dalam intranet. and carik nombor kete dia. and then salin nombor telefon dia. nak buat apa? tak de buat apa, saje jer suka-suka. oh, sebenarnya takdelah suka sangat buat keje-keje penyasatan Nancy Drew tu. tapi i suka sangat-sangat untuk setuju sangat-sangat dengan statement dia pasal u gila. hahaha..

bro, thanks for the 'rock'. kitorang rasa best bila u cakap yang kitorang rock. and bertambah-tambah best untuk sedarkan u yang U ROCKS TOO!!!!


adios.

Monday, February 08, 2010

excited

please.

tolong.

meskipun sedikit, please

Thursday, January 28, 2010

Faizal Tahir

setiap kali dengar lagu baru Faizal Tahir di waktu siang mesti berangan-angan dan berharap agar Faizal Tahir akan menyanyi lagi di waktu malam waktu saya nak tidur. dan juga berangan-angan waktu tu saya dah siap-siap dalam comforter, dengan lampu tidur kaler pink bercahaya frost dan bila Faizal Tahir menyanyi lama-lama, saya pun tertidur lena.

tapi sebenarnya, pada waktu malam selalu tak sempat tidur dengan proper. mesti tertidur dekat hall dan dikejut oleh che amid lalu naik ke bilik dan terus menyorok dalam comforter sebab malu dengan tv sebab dia asyik tengok saya tidur padahal saya tak pernah tengok dia tidur.

dan bila Faizal Tahir nak nyanyi??

hari ni ada entri Faizal Tahir sebab seronok dapat beg dan risau bila demam bonda tak kebah-kebah dan excited nak balik masak makan malam. meskipun orang demam biasanya tak lalu makan, suami orang demam kan ada..

Monday, January 25, 2010

tentang kita

kalau kami berkumpul, tiada siapa yang kisah tentang jam. semua orang akan dengar cerita semua orang dan semua orang akan cerita hal sendiri pada semua orang. ramai orang pandang-pandang bila kita berkumpul. biarkan saja, kita tetap sama. kopi starbucks itu tetap panas. breakfast mcD itu tetap kenyang. sebab ia hanya tentang jalan-jalan yang berubah tapi bukan kita.

Wednesday, January 13, 2010

saya tak kesah demi chuck bass

sungguh terkeseima dan terkelu lidah bila lihat Chuck Bass dalam Gossip Girl. walaupun shah kata GG tu terlalu budak-budak dan tak sesuai untuk umur dia or dengan kata lain, umur saya juga..(hmmphh!!) tapi saya lansung tak kesah mesah. tetap jugak tercongok depan tv sorang-sorang sambil makan apple and tonton sendiri-sendiri. ego Chuck Bass itu terlalu macho untuk dilepaskan pandangan apatah lagi hanya seminggu sekali.


rena sekarang sudah memulakan misi kotak plastiknya. dengan dorongan dan laungan semangat dari sarjan-sarjan keroro, dia pasti berjaya. pasti!!

Monday, January 11, 2010

selamat tengok dunia

pagi sejuk dan dingin. monday blues dan ditambah dengan cramps yang menjadi jadi sejak semalam. sungguh-sungguh tak mengujakan untuk berpakaian kemas dan bekerja dengan efisyen.


tapi hari ni, dia baru sampai. mana boleh saya monyok-monyok.
welcome my dear lill girl n my lovely lil boy.


selamat tengok dunia!!

Tuesday, January 05, 2010

its a twenty ten!! (and orang-orang bawahan saya)

ok, apa yang ada dalam tahun ni

1. haiqal dah masuk darjah dua. bermaksud dia dah tujuh tahun plus jadi anak sedara saya. kami dah kurang bergaduh. tak macam dulu. dia dah belajar untuk mengalah malah kadang-kadang saya rasa macam saya sorang jer yang buli dia. saya mintak duit hari jadi dia pun dia bagi jer. tak perlu gaduh-gaduh or tanpa sebarang perjanjian untuk bayar balik duit tu.

2. anisha.. huhuhu. sebut nama pun dah ketar jari kelingking. tiada sebarang tanda-tanda perangai mengamuk dia akan surut. saya doakan dia dapat adik cepat-cepat. biar dia tahu langit tu tinggi ke rendah!! hahahaha

3. qashah dah makin montel. serius, kalau cucuk jari kat pipi dia, jari akan tenggelam. kepala punyalah berat sampaikan tiap kali saya berjaya tidurkan dia, mesti lengan saya kebas.

4. heri @ adik saya @ jejaka kapal minyak dah bekerja. saya dah merasa gaji pertama dia. yuhuuuu.. dah jarang menelefon sebab jadual kapal dia tak menentu. last dia telefon is minggu lepas and ajar saya term-term yang dia guna atas kapal. contoh : wing, trim, tangki, forward, backward, bla bla bla..