Monday, October 13, 2008

tiga belas syawal saya

13 syawal.. genap setahun cerita saya tanpa hadifaza.

awal perkenalan dengannya waktu kami sama-sama menghadiri temuduga kerja sebagai programmer. waktu itu, dia meniru jawapan ujian bertulis saya. yer, sebijik sebijik dia menyalin dari kertas saya. saya hanya biarkan meskipun saya tahu apa yang dia lakukan. tak mengapa, andai ini rezeki saya, pasti ada buat saya.
kemudian, kami dipanggil untuk temuduga kedua. (read: mungkin kerana markah jawapan bertulis yang lepas sama) tapi kali ini ujiannya lebih mencabar. kami dibahagikan mengikut kumpulan seramai tiga orang dan diberikan satu program yang penuh dengan error dan tugas kami ialah untuk membetulkan kesemua ‘error’ dan memastikan program tersebut dapat berjalan. kebetulan, saya dan hadi di dalam satu kumpulan. hampir dua jam menggali... akhirnya kesemua error berjaya dihapuskan. cuma sedikit malang bila output nya tidak keluar. akhirnya, kami bertiga keluar dari bangunan tersebut dengan muka ceria dan dipenuhi dengan gelak besar.
waktu pulang itu, hadi membuat pengakuan “hari tu.. aku tiru jawapan kau. tak sempat nak study lansung. dah la tak ingat teori-teori ni. thanx yer..”
saya hanya senyum “ aku tau.. sama-sama..”
maka kami berpisah stesen lrt. saya mengandaikan itu kali terakhir saya jumpa dia. tapi rupa-rupanya tidak. bila kami mula terserempak untuk tiga temuduga kerja yang sama, persahabatan kian terjalin. yang nyata, program yang kami kerjakan dahulu lansung tak diterima kerana dua-dua gagal ke temuduga ketiga. bermula dari situ, aktiviti mencari kerja itu umpama aktiviti gotong royong menggali bijih besi bagi kami. mana-mana saja ada walk-in interview pasti kami sama-saling berkongsi maklumat malah berkongsi soalan-soalan bocor.

akhirnya, saya diterima bekerja di sebuah kolej swasta dan dia pula bekerja di sebuah syarikat kurier. kami masih berhubung meskipun sudah lama tidak bersua muka. sesekali menelefon, bertanya khabar dan bercerita tentang kerja masing-masing. setiap hari cuti am pasti ada sms darinya “Selamat Hari Raya”, “Selamat Hari Merdeka” malah saya pernah dapat sms “Selamat Hari Gawai” dari dia. rezekinya lebih, dia kemudiannya ditawarkan bekerja di sebuah syarikat multi nasional. setiap bulan pasti ada saja tempat baru yang bakal dia lawati atas urusan kerja. maka saya dan dia makin jauh. hanya emel yang menjadi medium komunikasi kami. itupun jarang-jarang.

mungkin kerana jurang umur yang tidak terlalu besar, kami bebas berbicara. hanya panggilan nama yang lebih menjurus kepada ‘kau-aku’. kami selesa bercerita tentang apa saja yang menggembirakan hati, tentang apa saja yang berkecamuk dalam jiwa, tentang apa saja yang kusut di fikiran, tentang apa saja yang menyakitkan pandangan… dan semestinya, bila umur sudah meningkat.. pasti muncul soal cinta.

semua kisah cinta dia pernah menjengah pendengaran saya. kisah cinta pertamanya dengan sang gadis jurusan arkitek. kisah kasih dia dengan sang gadis PTD yang tak kesampaian. kisah cinta tak berbalas nya pada wanita yang 4 tahun tua daripadanya. dan akhir sekali kisah kasih tak sampainya pada seorang pensyarah muda. kisah cinta saya.. yer, dia juga tahu tentang itu. cuma saya kira, tidak semuanya.. secretive; itu yang dia katakan pada saya. saya hanya senyum..

saya mendengar semuanya.. semua yang indah, semua yang parah. bagaimana indahnya matahari yang terbenam di pinggir laut, seperti itulah indahnya harinya waktu dia diberitahu yang dia bakal dinaikkan pangkat. dan seperti mana hancurnya world trade centre, seperti itulah hancurnya hatinya bila Gen2 merahnya dilanggar dari belakang sewaktu kesesakan jalan raya.

saya mendengar dia bercerita tentang lamanya dia menunggu gadis arkitek di bawah sinaran lampu neon, dengan salji yang semakin menebal hanya untuk menyampaikan satu tin laici yang dibawa dari Malaysia.
saya mendengar dia bercerita tentang betapa dia mengantuk di pejabat kerana berhempas pulas menyiapkan proposal untuk klien Jepun yang memang terkenal dengan sifat cerewet namun proposal nya itu tetap ditolak.
saya mendengar dia bercerita dengan suara yang begitu ceria bercampur sayu bila mengkhabarkan yang kedua orang tuanya telah selamat sampai ke Tanah Suci.

saya mendengar semuanya.. sesekali mencelah. tapi saya lebih banyak diam kerana saya tahu, waktu itu dia lebih memerlukan telinga saya berbanding mulut saya.

cuma yang buat saya sering mengingati lelaki ini ialah biarpun banyak mana masalah yang dia ceritakan pada saya, biarpun lama mana dia bercerita pada saya, biarpun parah mana dia waktu itu, dia masih lagi ingat untuk bertanyakan keadaan saya “so, ko apa cter skang? ok? ada paper nk cter kat aku tak?” dan bila soalan itu dilontarkan. saya memang tidak dapat menidakkan padanya tentang semua yang kusut di jiwa saya waktu itu.
setiap kali saya bercerita pada dia tentang kerja saya yang sering ditimbun-timbun dengan kerja orang lain, dia pasti ada nasihat menyuruh saya sedikit tegas
setiap kali saya mengadu tentang betapa sakit jiwanya saya dengan bos pembaris saya waktu itu, dia pasti akan gelak besar dan menyuruh saya bersabar
setiap kali saya merungut-rungut padanya tentang si dia yang kadang-kadang meragukan hati.. dia pasti menyarankan saya berdoa dan mula berkongsi tentang pengalaman dia.

dari dia.. pasti ada saja nasihat-nasihat yang bisa buat saya tenang. dan beberapa hari selepas itu, pasti saya akan menerima mesej follow up yang berbunyi : “ko dah ok?” dan waktu itu, andai saya masih belum ok, saya tahu yang tak lama lagi saya akan ok.

awal 2007, dia menelefon. bercerita tentang kisah sedihnya, wanita pujaan hatinya beralih cinta pada lelaki lain. saya tahu hati dia remuk. .saya cuma memujuk dengan ayat-ayat biasa “sabar.. nanti-nanti ok la tu. aku bet.. bulan depan ko mesti call aku n citer pasal orang baru”
sedikit berbeza dengan jawapan yang selalu saya dengar. kerana selalunya dia akan menjawab “yer.. yer.. aku tau. nanti aku jumpa orang lain. tapi sekarang ni.. aku tgh down dengan dia”
tapi kali ini balasannya lain.. apa pun, saya mengaminkan doa nya. yer, sesiapa saja akan mendoakan benda yang sama, saya kira.

selepas itu kami sedikit ‘jauh’. agak lama kami tidak berhubung. cerita saya bertukar kerja pun hanya dikirim melalui emel. dan dia hanya membalasnya tiga minggu selepas itu. hinggalah penghujung ramadhan 2007.. dia menelefon. bertanya khabar seperti biasa, berkongsi cerita-cerita, bergelak ketawa dan saling kutuk mengutuk. saya akui..dengan hadi saya sedikit rilex. saya bebas menggunakan sebarang bahasa. lama bersembang baru saya diberitahu yang sebenarnya dia hospital waktu itu. yer, saya tahu dia ada athma dan beban kerja yang sering menggasak dia ke sana sini itu merumitkan lagi penyakitnya.
“aku kat hospital ni. tnggu bos datang ambik ”
bila saya tanya kenapa
“biasalah.. athma. semalam lepas bukak pose aku semput. minum ais kot. ubat plak habis. bos terus antar aku kat sini. doktor plak terus tak bagi aku balik. sib baik doktor cun, aku relakan je la. ari ni dah boleh balik dah.. ” hadi.. hadi.. kamu ini suka sangat panggil ayah kamu dengan panggilan bos.
agak lama kami bersembang. saya terpaksa memutuskan talian lantaran sudah hampir waktu berbuka puasa. dan perbualan telefon itu tidak tamat di situ. kami kembali menyambung dengan sms. bercerita itu ini. mengimbau kembali zaman kami sama-sama mencari kerja dulu. mengingat kembali nama-nama keramat yang pernah menggegarkan hati kami dahulu. waktu itu seperti kami sama-sama menaiki mesin masa dan mengimbau kembali semua perkara yang pernah terjadi dahulu. sedar tak sedar sudah hampir 3 tahun saya berkawan dengannya. dan saya benar-benar ‘treasure’ 3 tahun itu.
itu penghujung ramadhan 2007

Satu Syawal, saya menelefon hadi. sama-sama mengucapkan selamat hari raya dan memohon maaf andai ada sebarang laku yang menyakitkan hati. dia banyak menyebut betapa dia menghargai persahabatan ini. betapa dia seronok punya teman yang sama gila dengan dia. dan dia berharap yang saya akan tetap jadi kawan dia yang baik dan tetap ingat dia sampai bila-bila. entah kenapa perbualan kali itu sedikit syahdu.mungkin teremosi dengan takbir raya, saya fikir.

Syawal ke 13 seawal pukul 4 pagi saya dikejutkan dengan satu panggilan telefon. lihat pada skrin, nombor hadi yang tertera. awalnya mahu saja saya marah-marah pada dia kerana mengganggu tidur saya, tapi bukan suara dia yang saya dengar..
“rena, aku ni.. jamie..”
“kenapa mie.. ?”
“pasal hadi.. rena.. hadi.. dia.. dah tak der”
meskipun waktu itu jamie begitu lembut memanggil nama saya.. begitu lembut menuturkan ayat-ayatnya, saya rasakan umpama hati saya ditikam dengan pisau. ditikam dan ditusuk tusuk. seumpamanya, saya boleh merasakan pedih tusukan yang bertalu talu itu.. air mata saya yang mulanya bergenang di air mata mula mengalir laju
di telinga saya terngiang-ngiang seakan akan mendengar gelaknya waktu saya meminta duit raya dalam bentuk kredit telefon pada satu syawal itu. saya teringatkan usikannya yang bersungguh-sungguh mahu kenalkan saya pada sepupunya yang masih single. dan saya umpama mendengar dia menyebut-nyebut tentang permintaannya untuk saya tetap jadi kawan dia sampai bila-bila.

“aku sronok kawan ngan ko. aku ramai kawan, tapi tak ramai yang boleh aku carik tengah-tengah malam semata-mata nak suh dgr aku membebel mcm aku buat kat ko. aku harap kita boleh jadi kawan sampai akhir hayat. ko tau kan.. ko boleh carik aku kalau ada paper hal.. kalau tak boleh call, sms. tak pun email. telegram pun x per.. antar merpati pun boleh la.. kalau aku kena pegi bulan sekalipun, ko email jer aku. even aku tak boleh reply, ko tau kan yg aku still boleh tau condition ko.. n kalau kita kawin sekalipun.. aku tak nak kita putus. cuma aku tau yg masa tu kita dah terhad. but.. selagi boleh, aku tak nak kita putus”

aduhai hadi.. kenapa sampai begitu sekali harapan kamu. tiba-tiba suara jamie kembali ke pendengaran saya

“rena.. are u there? hadi.. dia meninggal pukul tiga tadi. athma dia teruk giler semalam. sampai pengsan. kitorang antar dia masuk ward n pukul 3 tadi dia pergi. ”

saya tak banyak berbicara. masih lagi terkejut dengan perkhabaran itu. jamie pula seakan mengerti, dia hanya diam menantikan bicara saya. saya hanya bertanyakan bila jenazah bakal dikebumikan dan mengucapkan terima kasih pada jamie kerana memberitahu. subuh itu, tiga kali surah yaasin saya hadiahkan pada hadi. entah berapa al fatihah saya bacakan untuknya saya juga tidak tahu. jam sepuluh, jamie menghantar sms.

“pagi ni mendung. sama macam hati kita. semua dah selamat. simpan pkul 8 tadi. alhamdulillah, tak de masalah. sabar banyak-banyak yer .. “

saya teringatkan kata-katanya dahulu. yang sedikit berlainan dari apa yang sering dia ucapkan bila saya memujuknya “sabar.. nanti-nanti ok la tu. aku bet.. bulan depan kau mesti call aku n citer pasal orang baru”
berbeza dengan biasa kerana jawabnya waktu itu “ aku harap.. ini kisah sedih last yang kau dengar”
yer.. saya tak perlu mendengar lagi kisah-kisah sedih dia.. saya lansung tak menduga kata-kata itu lain maksudnya dari apa yang saya tafsirkan. kini, bukan saja kisah sedih, malah semua berita dari dia juga saya tak bisa dengar...

argh.. kenapalah mascara ini bukan kalis air!!


5 comments:

Me and life's mystery~ said...

Sedihnya...@_@

Macam kata-kata Laksamana Sunan...

Mati itu pasti, hidup, insyaAllah.

mat jan said...

jangan la sedih..

butaseni said...

sabar sabar :)
mesua orang akan rasa jugak alam tu

nelly berry said...

sedihnya :(

semoga arwah ditempatkan bersama golongan yang beriman.

amin

Aan Andes said...

Sedihnyaaaaaaaaaaa!!!

Hmmm..

Me tak tahu nak comment apa. Me hope you are doing ok. Selalulah doa utk dia