Thursday, May 31, 2007

confession of the day

saya dengan ini mengaku dengan setulus hati yang saya ini seorang young lady yang sedikit nakal. (diulangi : sedikit) saya tidak berniat apa-apa melainkan hanya untuk menambahkan keserian dan keindahan perjalanan hidup saya. juga membuatkan kehidupan orang-orang di sekeliling saya sedikit mencabar walaupun pada hakikatnya perbuatan saya itu telah menyebabkan saraf-saraf neutron mereka rosak dan tidak dapat berfungsi dengan baik. sejujurnya saya mengatakan bahawa perbuatan nakal saya itu sebenarnya adalah untuk menyelamatkan diri mereka. dan juga diri saya. dan tujuan utama saya menyelamatkan diri mereka adalah kerana saya sayangkan mereka. sepertimana saya sayangkan diri saya. ini pengakuan saya yang serius. bukan main-main.

sekian, terima kasih.

Wednesday, May 30, 2007

lunch 1 jam saya

ini ialah senarai aktiviti-aktiviti yang saya buat waktu lunch hari ini

1. potong rambut di salon yang mengadakan promosi. hanya rm9.90. kini rambut saya pendek sependek pendeknya. lansung tak boleh diikat. macam zaman saya sekolah dahulu.

2. makan di mcDonald. hari ini menu saya ialah Mc Chicken dan air ribena.

3. tolong memilih mangga. kakak ofis saya suka beli mangga di petaling street. katanya murah. 7 biji rm10.

4. meninjau-ninjau harga t shirt-t shirt di petaling street. tak delah murah sangat. biasa jer..

5. singgah di 7e. beli aiskrim.

hmm.. itu saja saya kira.

Friday, May 25, 2007

valentine yang tidak melompat turun

pagi tadi, seorang rakan bertanyakan saya. tentang valentine. entah apa mimpinya, bulan februari sudah lama lepas. mungkin kerana jambangan bunga yang saya terima beserta dengan seikat laici dari nawal.

dia : february ari tu, u sambut valentine tak?
saya : tak.
dia : why?
saya : sebab valentine tak lompat turun pun. macam mana I nak sambut.

saya tak tahu samada dia paham atau tidak apa yang saya cakapkan sebab selepas itu dia terus senyap dan berlalu.

saya tahu, dia mengharapkan jawapan "owh.. i dah clash dengan boyfren i" ataupun "i dah tak sehaluan dengan dia" ataupun " i dah clash dengan dia. sbb masa tu i dah jatuh cinta dengan orang lain"

hohoho.. maaf ye kakak.. cubaan tidak berjaya. sila cuba lagi!!

saya ada tiket teater Terra Arata yang berlansung Sabtu ini. saya betul-betul ingin pergi. tapi, saya tiada nawal. saya rindu nawal.

Thursday, May 24, 2007

1 2 tiga 4

satu
masuk saja ke dalam ofis, perkara pertama yang saya lakukan ialah memandikan bunga saya. juga memandikan batu-batu kecil warna putih di dalam vase tersebut. carnation warna pink ini saya beli hari isnin lepas. masih lagi segar. saya suka lihat manik-manik air pada kelopaknya. cantik!! nanti bila carnation ini layu, saya mahu beli lily warna putih. ataupun beli tulip warna kuning. mana satu ni??? hmm..
kemudian, menyediakan secawan nescafe. hari ini tiada gula, hanya sedikit creamer. agak lama saya tidak minum nescafe. jika dulu, sayalah informer kepada akak yang selalu membeli barang-barang di pantry itu.
contoh ayat: “akak, nescafe dah nak abis. cukup untuk 3 hari jer lagi. creamer ada lagi”
tapi beberapa minggu lepas
“rena, nescafe ada lagi tak?”
“erk.. tak tau la kak. ari tu tengok macam banyak lagi”
(sebenarnya saya juga sudah lupa bila sebanarnya ‘ari tu’ itu)
tapi, hinggalah entri ini ditulis, nescafe di dalam mug finding nemo saya masih belum luak. hmm..

dua
semalam pulang dari kerja sudah jam enam setengah. melihat bonda sedang membuat ‘spot check’ terhadap pokok-pokok bunga dan tanamannya di sekeliling rumah, saya juga turut serta. walaupun hanya setakat mengutip daun-daun nangka jiran sebelah rumah yang luruh ke dalam kawasan rumah kami, tak apalah. sekurang-kurangnya bonda ada juga teman berbual. sebenarnya sepanjang perjalanan pulang tadi saya hanya impikan katil, impikan kedinginan air dan bau wangi shower cream, tapi melihat bonda berseorangan di luar saya tidak sampai hati. tak mengapa, lepas isya’ boleh tidur. pokok kari bonda diancam belalang. belalang hijau yang besar. banyak daun-daun yang rosak. lama juga saya membelek baru ketemu encik belalang itu. besar. saya hanya mengusir. tak sampai hati mahu membunuh. kemudian menjenguk pokok bunga kertas bonda. beberapa kali jari saya tercucuk duri tajamnya. tapi tidak melukakan. sakit jugak. membuang daun-daun yang sudah buruk. dan memotong mana-mana dahan yang saya kira tidak perlu. sebenarnya saya hanya memotong dengan sesuka hati. akhirnya pokok itu menjadi senget sebelah kerana tangan saya terlalu ligat memotong sebelah kanan. mujur dapat diselindungkan di sebalik dengan pokok-pokok lain. hahaha.. pagi ini waktu solat subuh.. saya berdoa.. semoga pokok itu tumbuh membesar dengan segera. amiin..

tiga
rakan-rakan sekolah saya sibuk dengan persiapan untuk reunion bulan 7 nanti. saya juga sama-sama menyibukkan diri. menolong apa yang patut. mereka letakkan saya dalam bahagian Jemputan dan Kewangan. maka, tugas saya ialah menghantar kad atau email untuk menjemput mereka semua dan menjaga hal-hal kewangan bersama 4 orang rakan yang lain. seronok juga sebenarnya. bekerja dengan rakan-rakan yang suatu ketika dulu hanyalah rakan-rakan yang hanya berselisih bahu tatkala mahu kelas. terutamanya rakan-rakan lelaki. kerana di sekolah saya dulu, pelajar lelaki dan perempuan tidak boleh terlalu ramah mesra. hari ahad lepas, kami semua berkumpul. sama-sama berbincang tentang pengisian program, tentang penempahan hotel, tentang duit yang sudah terkumpul, tentang apa saja yang berkaitan. semua orang begitu teruja. saya hanya mendengar. cuba untuk menyiapkan kerja secepat mungkin. sebenarnya saya tidak akan hadir untuk reunion ini. pertamanya kerana tarikh itu juga tarikh projek saya berlangsung. ini projek sulung saya. mustahil saya akan lepas tangan dan biarkan ianya berjalan tanpa kehadiran saya. keduanya kerana lokasi reunion in terlalu jauh. andai dekat, boleh saja saya lari-lari sekejap. maka, saya harus memilih salah satu. keputusannya, saya pilih untuk berada di sini. bukan di Kelantan. bukan saya tidak mahu menyertai, tapi tidak boleh. tapi saya tidak sampai hati untuk mencacatkan keriangan mereka dengan memberitahu mereka awal-awal tentang kegagalan saya untuk ke sana. nantilah, bila sampai waktunya, saya akan bilang juga.

empat
gigi saya sakit. ini semua gara-gara menguyah toblerone setiap hari sejak dua mnggu lepas. promosi beli 2 percuma 1 nya betul-betul membuat saya bahagia. waktu itu, saya lihat langit cantik dengan warna biru lembutnya beserta awan putih gebu-gebu. saya lihat kereta-kereta di jalan raya umpama deretan gula-gula smarties yang berwarna warni. saya lihat students yang berjalan ke sana sini umpama melihat model di runway. hahaha.. toblerone ini sungguh pandai membiakkan hormon-hormon keriangan saya. waktu itu lansung tidak saya fikirkan tentang sakit ini. yang saya tahu, toblerone itu cukup enak . saat coklatnya ‘melting’, dan ada pula potongan-potongan badam kecil, ditambah pula dengan nugget madu yang manis. owh, seronoknya perasaan itu. hinggakan saat saya masukkan satu potongan toblerone ke dalam mulut, tidak semena-mena mulut saya pasti akan mengukir senyuman. tersenyum sorang-sorang. betul, saya tidak tipu. saya pun tidak tahu kenapa tiba-tiba saja saya ingin tersenyum. ianya tindakan di luar kawalan. (ini menjawab kepada soalan mengapa status YM saya pada mnggu lepas ialah “senyum seindah toblerone”)
kini, saya terpaksa menggunakan sensodyne. berpantang sedikit terhadap coklat. juga terhadap ais. saya tidak mahu bonda saya tahu tentang ini. nanti pasti dia akan kerahkan saya berjumpa doktor gigi. selagi saya tidak berbuat sesuatu, pasti dia akan mengulangi kerahannya itu. bukan itu saja, dia pasti akan cuba mengharamkan toblerone masuk ke dalam peti sejuk nya. toblerone, jangan risau. saya tidak membenci kamu kerana perkara ini. sama sekali tidak akan menyalahkan kamu. nanti bila sakit saya makin kurang, kita jumpa lagi yer.

Tuesday, May 22, 2007

alien yang pandai bekerja

bilik saya tibatiba diterjah masuk oleh lelaki ini. dia sememangnya begini. lansung tiada etika untuk memasuki bilik yang tertutup pintunya. tapi hanya dengan saya dia begini. mungkin kerana sudah biasa. meminta salinan dokumen yang hilang. saya sudah agak kerana kali terakhir saya melihat dokumen itu di front desk. duduk saja dia di kerusi hadapan saya, mulutnya becok bercerita itu ini. saya hanya mendengar.


asyik lagu sama. ko tak bosan ke?
tiba-tiba dia bertanya. sememangnya waktu itu saya hanya memutarkan sebuah lagu sahaja. Humpty Dumpty Love Song by Travis

(senyum) lagu ni best apa. suka. nanti bila dah bosan, tukar lagu lain plak.

pelik btul budak ni. aku tak penah jmpa org mcm ko tau.

yer.. yer.. saya ini alien. nanti bila siap baiki kapal angkasa saya, saya balikla..
(sambil menghulurkan dokumen yang siap dicetak. juga siap di susun)

dia bangun sambil ketawa besar. juga tak lupa mengucapkan terima kasih. saya juga ketawa.

hmm.. jangan ingat alien hanya tahu dengar lagu yang sama sajer.
alien juga tahu menyimpan dokumen, mencetak dan menyusunnya dalam susunan yang betul.

Saturday, May 19, 2007

setahun II

sebagai memenuhi janji.. saya sudah penuhkan entri setahun itu.

Friday, May 18, 2007

besar

kadang-kadang kita terlalu sibuk berlari mengejar sesuatu yang besar, yang kita kira pasti akan membahagiakan kita.. sedangkan, kebahagian itu sebenarnya adalah yang kecil-kecil di sepanjang larian itu..

Thursday, May 17, 2007

ikhlas

ini ayat nasihat dari A
bila kita ikhlas memaafkan seseorang, baru lah hati kita akan tenang.. segala keindahan dunia ni dapat dinikmati.. dan segala apa yang kita buat akan diberkati.. titik tolaknya.. IKHLAS..

ini pula ayat soal B
tapi kalau aku tak ikhlas maafkan dia, mesti aku tak tenang jugak kan? sbb sbnrnya aku mmg tak nak maafkan dia. tapi aku paksa diri aku maafkan dia. sbb nak suh hati aku tenang.

saya hanya mendengar kedua-duanya berbicara. sesekali mengangkat muka dan tersenyum. kemudian tunduk kembali memandang gelas minuman. mengacau-ngacau biji barli di dalam gelas. saya berasa tenang melihat asap panasnya terbang naik ke udara, dan untuk membiarkan biji-biji barli di dalam gelas itu tidak bergerak-gerak, itu adalah perkara yang sukar dimaafkan.

Tuesday, May 15, 2007

setahun

hari ini genap setahun blog ini wujud
alhamdulillah..


saya betul-betul dihambat kerja-kerja yang tertangguh sejak semalam. nanti lain kali saya penuhkan entri ini

update : 19 mei 2007

okey.. ini entri sempena ulangtahun pertama blog saya. terlewat 4 hari. tapi masih memutuskan untuk ianya berada bersama-sama tarikh 15 mei. hari itu, tiada kek ataupun lilin untuk meraikan blog saya. saya hanya meraikannya dengan sepaket skittles dan sebotol lipton red tea.
flash back: saya mengetahui tentang kewujudan blog pada awal tahun 2003. waktu itu saya tahun akhir pengajian. kebanyakan masa saya dihabiskan di makmal komputer menyiapkan projek tahun akhir. secara tidak sengaja, saya terjumpa blog fajar fansuri. saya tidak tahu bagaimana untuk me'describe' tentang blog ini, tapi bagi saya ianya ‘cantik’. ehmm.. dan kemudiannya saya terjumpa pula blog faisal tehrani. dan selepas itu ada beberapa lagi blog-blog lain yang sering saya ikuti. dan yer.. hingga sekarang, saya masih lagi mengikuti sebahagian dari blog-blog ini. tapi waktu itu terlalu penuh dengan kerja-kerja student maka saya hanya lebih suka melayari blog-blog orang lain kerana saya tahu, andai saya ada blog sekalipun, saya tidak punya banyak masa untuk untuknya.
bila masuk alam pekerjaan, masa saya semakin padat. selalu terkejar-kejar dengan waktu. paling tidak suka andai ada kelas pukul 2 hingga 4. saya perlu menyelesaikan makan tengahari saya, solat saya serta nota-nota untuk mengajar pada waktu makan tengahari yang hanya sejam. hinggalah tahun lepas, jadual saya sedikit lega. ini pun kerana ada seorang junior yang baru masuk. maka secara automatiknya, dia pula yang merasa penangan hambatan waktu yang menggila itu.dan saya.. hehe.. saya sudah mula merasakan atmosfera di sekeliling saya semakin besar. dan saya pun mula melancarkan blog saya. (melancarkan?? hmm..) apa saja yang saya ingin suarakan, saya tulis disini. kadang-kadang hanya sebaris ayat.

dalam blog saya menemui satu tempat yang paling sesuai untuk saya melakukan apa yang saya suka. tanpa sebarang halangan dan juga tentangan. saya suka menulis. hmm.. sekejap. bukan menulis.
correction: sebenarnya, saya suka bercerita. tapi andai saya bercerita tanpa sesiapa yang mendengarnya, maka orang yang melihat saya waktu itu akan menganggap saya ini gila. contoh ayat: “apa hal la budak tu duk brcakap sorang-sorang. tak betul ke apa..”
sedih bukan andai dilabel sebegitu??

maka dengan itu, saya memutuskan untuk menulis sahaja apa yang ingin saya ceritakan. entah bila datangnya kepandaian menulis ini saya juga tidak tahu. sudahlah ianya ditulis dalam Bahasa Melayu. kerana pada waktu 8 tahun lalu, andai kamu lihat keputusan SPM saya, Bahasa Melayu saya teruk sekali jika dibandingkan dengan rakan-rakan yang lain. malah juga teruk andai dibandingkan dengan keputusan-keputusan subjek lain. (itu sebagai bukti yang saya lansung tidak pandai menulis dan memanipulasikan ayat Bahasa Melayu dengan baik.) kadang-kadang ingin saja saya hubungi guru Bahasa Melayu saya semasa di mrsm pc dulu dan memberitahunya tentang kewujudan blog ini. hehe.. oh ya, nama cikgu saya ialah Puan Mek Siti.

blog ini adalah tempat untuk saya bercerita tentang apa yang bermain dalam fikiran saya, apa yang bergelodak dalam jiwa saya, apa yang menari-nari di mata saya, apa yang terngiang-ngiang di telinga saya, tentang apa saja yang berlaku dalam dunia saya.

disini saya bebas bercerita tentang apa saja hatta tentang saya mencuci mug Finding Nemo saya hingga berkilat-kilat dan selepas itu saya minum menggunakan cawan plastik(
sini). tempat untuk saya bercerita mengenai pengalaman adventurous saya melarikan diri dari seorang lelaki bernama azman. hahaha.. saya tahu azman tidak tahu akan kewujudan blog ini, maka sebab itulah saya dengan beraninya menulis tentang dia. hohoho.. (sini). tempat untuk saya meluahkan apa yang saya rasakan tidak adil pada diri saya (sini dan sini). tempat saya bercerita saat-saat saya betul-betul merasakan kekosongan kerana kehilangan dia. read: suatu masa dahulu (sini). tempat saya menyanyi lagu kesukaan saya. kadang-kadang lagu ini juga menjadi lullaby saya (sini). dan pastinya, ia juga tempat untuk saya bercerita tentang satu benda yang saya suka dan juga yang selalu membuatkan saya suka. (sini ,sini lagi , sini pun , ada lagi)
hmm.. saya kira ini saja entri saya sempena ulang tahun pertama ini. saya seronok disini. ini ialah dunia saya yang saya suka. ada cerita tentang apa yang saya rasa. dan tak lupa juga, ada kamu semua dalam dunia saya yang selalu buat saya suka.
ya kamu.. kamu la..
siapa lagi kalau bukan kamu??

Saturday, May 12, 2007

nasi goreng bonda

sejak saya darjah satu, menu saya sebelum ke sekolah ialah nasi goreng. bonda akan pastikan anak-anaknya menghabiskan sepinggan nasi goreng sebelum ke sekolah. ke sekolah, saya diiringi bekal. juga nasi goreng. percaya atau tidak, sepanjang saya bersekolah rendah. dari darjah satu hingga ke darjah enam, boleh dikatakan setiap hari saya membawa bekal nasi goreng. cuma ada juga kadang-kadang menu saya ditukar dengan mihun goreng atau mee gorang ataupun koay teow goreng. tapi nasi goreng tetap menu utama. nasi goreng bonda cukup simple. rencahnya hanya ikan bilis. prosesnya amat mudah. sedikit bawang putih, bawang besar yang ditumbuk kasar bersama ikan bilis. lalu ditumis garing dan dimasukkan nasi. tambah segala bahan perasa dan wallah!! itu dia nasi goreng bonda. saya paling sukakan waktu saya sedang bersiap-siap, dan bau nasi goreng itu tiba-tiba menerpa rongga pernafasan saya. owh.. bau yang cukup menggoda. serius, saya tidak tipu. ia betul-betul menggoda.

dua tahun terakhir persekolahan saya, saya terpaksa berada di asrama. itu adalah syaratnya. tiada lansung kompromi. selama dua tahun itu, saya sememangnya merindui nasi goreng bonda. bukan tidak ada menu nasi goreng di dewan selera, tapi rencahnya ayam. tak sedap. di café pula, ada nasi goreng kampung. walaupun diletak ikan bilis, tapi terlalu pedas. maka setiap kali balik cuti semester, setiap pagi menu saya ialah nasi goreng bonda.

hinggalah sekarang, umur saya sudah mengjangkau suku abad. namun, setiap kali sebelum turun dari rumah ke tempat kerja, saya masih sempat menjamah nasi goreng bonda. rasanya tetap sama sejak dulu. tak pernah berubah. lansung tak berubah. kadang-kadang, bila teringatkan jumlah minyak yang saya ambil setiap pagi sejak dulu, sedikit gerun. bersyukur yang saya ini tidak sebesar mana..

kadang kala saya kesiankan bonda. terpaksa bangun awal pagi semata-mata untuk menyediakan nasi goreng. pernah juga saya beri alasan-alasan palsu agar dia tidak perlu menyediakan nasi goreng di awal-awal pagi. tapi andai saya beralasan mahu keluar awal, maka dia akan bangun lebih awal untuk buat nasi goreng. aduh..

bonda dan nasi goreng. itu dua perkara yang saya pasti tak akan lupa. tak akan lupa sampai bila-bila. bukan tidak ada perkara lain yang bagus dan seronok untuk saya ingatkan tentang bonda. tapi yang ini lain. cukup istimewa. saya merasakan seolah-olah ianya membesar bersama saya. dari seorang kanak-kanak perempuan dengan pinafore dan baju kemeja putih, rambut bertoncang dua dan diikat dengan ribbon, saya beralih kepada remaja berbaju kurung putih berkain biru, kemudian kepada pelajar universiti beruniform jeans dan tshirt, hinggalah kini, saya bergelar seorang junior exec di sebuah kolej swasta. pinafore telah lama saya tinggalkan. begitu juga dengan baju kurung putih berkain biru. t’shirt dan jeans kuliah saya kini hanya untuk hujung minggu, dan kini semua itu diganti dengan slack berserta kemeja. kadang-kadang baju kurung. tapi nasi goreng itu tetap ada. tetap sama. rasanya tak pernah berubah. lansung tak pernah berubah.

saya tahu, dalam nasi goreng itu ada satu ramuan istimewa. ramuan yang bukan boleh dibeli di mana-mana. hanya dia yang ada. saya tahu, dalam setiap nasi goreng bonda, dia adunkan sekali perasaan kasih sayangnya. walaupun kadang-kadang ada juga perangai saya yang kurang senang di hatinya, tapi rasa nasi gorengnya tetap sama. dan saya rasa cukup bersalah andai tidak menjamah nasi gorengnya setiap pagi walaupun hanya untuk tiga sudu makan. kerana itu cara saya menghargai dia. itu juga saya harapkan sebagai berkat untuk saya sebelum saya keluar dari rumah mencari rezeki. dan andai waktu pulang dari kerja, nasi goreng itu masih berbaki. saya lah orang yang akan habiskannya. walaupun seringkali ditegah olehnya kerana makan nasi sejuk, saya tetap degil. membuang nasi goreng itu umpama satu perbuatan yang lansung tidak bermoral bagi saya.

entri ini untuk bonda saya. sempena hari ibu esok hari. semoga dia sentiasa bahagia menjadi ibu saya, menjadi ibu kepada kakak saya dan juga menjadi ibu kepada dua adik beradik lelaki saya. semoga rasa nasi gorengnya tak akan berubah sampai bila-bila. semoga rasa nasi goreng saya juga akan sama dengan rasa nasi gorengnya.

Selamat Hari Ibu. Saya sayang kamu. Teramat sayang..

Monday, May 07, 2007

...

kenapa


saya


masih


belum


immune


dengan


dia?????


kerja-kerja saya terhenti. terasa seperti dihalang oleh sesuatu dari dia. sebenarnya, dia sendiri tidak tahu menahu tentang ini. cuma saya. saya seorang.

bilik baru

bilik saya dahulu hanya ada satu tingkap
sekarang saya ada dua buah tingkap besar
saya boleh nampak bangunan dayabumi
juga bangunan pejabat pos
sesekali boleh nampak lrt lalu
paling saya suka, saya boleh lihat langit. boleh lihat awan.
nanti kalau hujan, saya boleh lihat hujan.
(saya sudah mula senyum sendirian)
tapi, kenapa tiada burung yang terbang??
hmmm..

mereka beri saya dua meja
satu meja saya letak komputer saya
satu meja lagi saya susunkan fail-fail kerja saya
bawah meja saya ada cpu
dan juga dua buah kotak kecil berisi kasut.

itu saja tentang bilik ini
saya masih belum merasai sebarang pertalian dengan bilik ini
rasa kosong
entah kenapa
hanya tingkap-tingkap ini yang 'memujuk' saya

Friday, May 04, 2007

tidak selesa

rekod untuk 10 minit: saya telah bersin sebanyak enam kali
banyak betul kuman-kuman yang keluar dari badan saya. "selamat tinggal en kuman. terima kasih. sila jangan datang lagi." hidung pula sudah merah. saya terpaksa bertemankan kotak tisu ke mana saja saya pergi. (read: saya tidak suka berkongsi kuman saya dengan orang lain) sejak semalam juga tekak saya perit. selera makan saya musnah akibat sakit ketika menelan. tapi saya gagahkan juga mencukupkan bekalan bendalir dalam badan saya. masalahnya, sejak semalam saya merasakan mug saya ini terlalu besar.
baru pukul 11 pagi. tapi saya rasa yang sudah lama saya membuat kerja. saya sudah penat.
saya tidak demam. tolonglah. saya tidak mahu demam dalam waktu-waktu begini. beri saya peluang menyiapkan semua kerja saya dahulu. selepas itu, saya boleh demam dengan selesa.


tidak selesa
serius, saya betul-betul berasa tidak selesa sekarang

Thursday, May 03, 2007

ini untuk kamu

apa perasaan kamu andai..

kamu berkenalan dengan seorang gadis.comel. juga manja. mesra walaupun tak pernah bertemu. hanya saling berutus pesanan. sekali sekala bercerita tentang rindu.

mesti seronok bukan?? haha.. jangan tipu saya. kamu sendiri pernah bercerita dengan saya tentang gadis ini. bercerita yang kamu senang dengan telatahnya dan bertanya andai saya kenal gadis ini. walaupun kamu sudah punya seorang teman wanita. kata kamu "ah, dia ini hanya kawan biasa". tapi sebenarnya, kamu perlu tahu bahawa..

gadis comel ini sebenarnya seorang remaja lelaki yang nakal. secara suka-suka mencipta seorang watak perempuan comel dan mencuri gambar entah siapa dan diletak sebagai gambar peribadinya

dan kamu juga perlu tahu bahawa..

remaja lelaki itu sebenarnya adalah adik saya. dan untuk pengetahuan kamu, saya adalah bekas teman wanita kamu dahulu (andai kamu lupa)

dan juga.. yang kamu perlu tahu..

adik beradik saya yang lain juga tahu akan hal ini. (mungkin ibu bapa saya juga tahu)

maafkan saya, saya tidak terlibat dalam kancah penipuan wanita jelmaan ini
tapi saya tidak sampai hati merosakkan keseronokan kamu berkawan