Saturday, May 12, 2007

nasi goreng bonda

sejak saya darjah satu, menu saya sebelum ke sekolah ialah nasi goreng. bonda akan pastikan anak-anaknya menghabiskan sepinggan nasi goreng sebelum ke sekolah. ke sekolah, saya diiringi bekal. juga nasi goreng. percaya atau tidak, sepanjang saya bersekolah rendah. dari darjah satu hingga ke darjah enam, boleh dikatakan setiap hari saya membawa bekal nasi goreng. cuma ada juga kadang-kadang menu saya ditukar dengan mihun goreng atau mee gorang ataupun koay teow goreng. tapi nasi goreng tetap menu utama. nasi goreng bonda cukup simple. rencahnya hanya ikan bilis. prosesnya amat mudah. sedikit bawang putih, bawang besar yang ditumbuk kasar bersama ikan bilis. lalu ditumis garing dan dimasukkan nasi. tambah segala bahan perasa dan wallah!! itu dia nasi goreng bonda. saya paling sukakan waktu saya sedang bersiap-siap, dan bau nasi goreng itu tiba-tiba menerpa rongga pernafasan saya. owh.. bau yang cukup menggoda. serius, saya tidak tipu. ia betul-betul menggoda.

dua tahun terakhir persekolahan saya, saya terpaksa berada di asrama. itu adalah syaratnya. tiada lansung kompromi. selama dua tahun itu, saya sememangnya merindui nasi goreng bonda. bukan tidak ada menu nasi goreng di dewan selera, tapi rencahnya ayam. tak sedap. di café pula, ada nasi goreng kampung. walaupun diletak ikan bilis, tapi terlalu pedas. maka setiap kali balik cuti semester, setiap pagi menu saya ialah nasi goreng bonda.

hinggalah sekarang, umur saya sudah mengjangkau suku abad. namun, setiap kali sebelum turun dari rumah ke tempat kerja, saya masih sempat menjamah nasi goreng bonda. rasanya tetap sama sejak dulu. tak pernah berubah. lansung tak berubah. kadang-kadang, bila teringatkan jumlah minyak yang saya ambil setiap pagi sejak dulu, sedikit gerun. bersyukur yang saya ini tidak sebesar mana..

kadang kala saya kesiankan bonda. terpaksa bangun awal pagi semata-mata untuk menyediakan nasi goreng. pernah juga saya beri alasan-alasan palsu agar dia tidak perlu menyediakan nasi goreng di awal-awal pagi. tapi andai saya beralasan mahu keluar awal, maka dia akan bangun lebih awal untuk buat nasi goreng. aduh..

bonda dan nasi goreng. itu dua perkara yang saya pasti tak akan lupa. tak akan lupa sampai bila-bila. bukan tidak ada perkara lain yang bagus dan seronok untuk saya ingatkan tentang bonda. tapi yang ini lain. cukup istimewa. saya merasakan seolah-olah ianya membesar bersama saya. dari seorang kanak-kanak perempuan dengan pinafore dan baju kemeja putih, rambut bertoncang dua dan diikat dengan ribbon, saya beralih kepada remaja berbaju kurung putih berkain biru, kemudian kepada pelajar universiti beruniform jeans dan tshirt, hinggalah kini, saya bergelar seorang junior exec di sebuah kolej swasta. pinafore telah lama saya tinggalkan. begitu juga dengan baju kurung putih berkain biru. t’shirt dan jeans kuliah saya kini hanya untuk hujung minggu, dan kini semua itu diganti dengan slack berserta kemeja. kadang-kadang baju kurung. tapi nasi goreng itu tetap ada. tetap sama. rasanya tak pernah berubah. lansung tak pernah berubah.

saya tahu, dalam nasi goreng itu ada satu ramuan istimewa. ramuan yang bukan boleh dibeli di mana-mana. hanya dia yang ada. saya tahu, dalam setiap nasi goreng bonda, dia adunkan sekali perasaan kasih sayangnya. walaupun kadang-kadang ada juga perangai saya yang kurang senang di hatinya, tapi rasa nasi gorengnya tetap sama. dan saya rasa cukup bersalah andai tidak menjamah nasi gorengnya setiap pagi walaupun hanya untuk tiga sudu makan. kerana itu cara saya menghargai dia. itu juga saya harapkan sebagai berkat untuk saya sebelum saya keluar dari rumah mencari rezeki. dan andai waktu pulang dari kerja, nasi goreng itu masih berbaki. saya lah orang yang akan habiskannya. walaupun seringkali ditegah olehnya kerana makan nasi sejuk, saya tetap degil. membuang nasi goreng itu umpama satu perbuatan yang lansung tidak bermoral bagi saya.

entri ini untuk bonda saya. sempena hari ibu esok hari. semoga dia sentiasa bahagia menjadi ibu saya, menjadi ibu kepada kakak saya dan juga menjadi ibu kepada dua adik beradik lelaki saya. semoga rasa nasi gorengnya tak akan berubah sampai bila-bila. semoga rasa nasi goreng saya juga akan sama dengan rasa nasi gorengnya.

Selamat Hari Ibu. Saya sayang kamu. Teramat sayang..

16 comments:

tegezoot said...

Wow! saya org pertama yg mengomen. Segala yg best tentang Nasi Goreng bonda awk adalah metafor kepada bertapa bestnya kasih sayang bonda awak! Semoga kasih dan sayang akan terus menjadi pegangan turun-menurun dalam generasi awak dan juga semua.

butaseni said...

sungguh mengiurkan mulutku dengan ceritamu itu.
teringin sangat untuk rasa nasik goreng ibumu itu...
tapiku tetap bersyukur dengan roti planta ibuku yang kukunyah sehingga ke akhir ballighku huhuhu
selamat hari ibu

Kamarul said...

teringat lagu bonda - m.nasir.

d.yan said...

kta sama2 m'besar dgn nasi goreng bonda

NezJoe said...

Wah, kamu buat saya rindu dengan satu lagi benda. Nasi goreng ikan masin ma saya. Kalau ikan masin tak ada, diganti ikan rebus. Wah, hidangan terbaik hanya dari ma!

rena said...

tegezoot..
tahniah kerana menjadi org pertama mengomen. dan terima kasih di atas doa kamu itu. semoga kamu juga dilimpahi kasih sayang seorang ibu sepanjang hayat.

butaseni..
kamu hanya membaca tentang nasi goreng bonda saya. saya yang menghidu dan merasa setiap hari..aduhai..
owh, saya juga suka roti planta. tabur gula sedikit diatasnya.

kamarul..
yer, lagu itu mmg cukup istimewa

d.yan..
dah lama saya tak makan nasi goreng sardin awak

nezjoe..
saya setuju dengan kamu. hidangan yang terbaik hanya dari seorang insan bergelar bonda.

untuk semua..
selamat hari ibu untuk ibu kalian!

Pegawai Khalwat said...

Aku buat nasi goreng sendiri.

kalau tak ada bonda tak bersama.

Resepinya tetap sama.

rena said...

pegawai khalwat..
kamu pandai masak eh?

mat jan said...

aku rindu ibu kamu..
bila kamu mahu jadi ibu?
anak-anak hamster aku sudah bertambah ni..
hahaha..

jinggo said...

aduh nasi goreng...........
oh nasi goreng.............
aku laparrrrrrr...........
bertambah lapar..........
aku seolah-olah mencium bau nasi goreng.........

laparnya akuuuuu....

tegezoot said...

jinggo tu memanjang je lapar! bila badan tak menepati BMI, mula la nak salahkan orang pengaruh dia suruh makan banyak! silap2 rena pun dia boleh tuduh tau!

rena said...

tegezoot..
biar betul jinggo tu mcm tu

jinggo..
erk.. betul ke?

jinggo said...

amboi ramong yang tegezoot.....
dapat peluang kutuk aku ya......

crunchyahcock said...

MEMANG JINGGO MCM TU!!buruk lantak.

rena said...

jinggo..
tegezoot bukan kutuk kamu. itu tandanya kamu sentiasa diingati. hehe..

crunchyahcock..
hehe.. :)

bintang hati said...

nak rasa skit nasi goreng bonda kamu tu...

huhuhuu...