Thursday, November 09, 2006

untuk kamu..

8nov 06
KL makin kerap hujan. setiap hari aku kebasahan untuk sampai ke stesen. disitu terpaksa pula berebut-rebut untuk masuk ke dalam tren yang penuh. semalam aku hampir-hampir terjatuh. lantaran terburu-buru masuk ke dalam tren, graviti aku sedikit tidak stabil. mujur aku sempat berpaut pada lengan seorang lelaki. dan dia umpama tahu aku memerlukan pertolongan, juga menarik aku agar terselamat dari dikapit pintu tren. seketika aku malu sendirian. cepat-cepat aku tarik tangan dari genggamannya. muka panas.
andai di pantai timur, bulan-bulan sebegini pasti hujan. musim tengkujuh. hujan berhari-hari tanpa henti. waktu itu aku masih bersekolah. pulang dari sekolah baju basah lencun. baju tidak penting kerana esok masih ada yang lain untuk dipakai. mustahaknya kasut sekolah. sepanjang persekolahan, aku tidak pernah memiliki lebih dari sepasang kasut. kalau lebih pun, itu kasut yang sudah terkoyak sedikit. tapi masih boleh dipakai sekali sekala. maka, jalan mudahnya, kasut yang basah itu di letakkan dibelakang peti ais. umpama pengering. esoknya, kasut bukan sahaja kering, malah garing. aku juga masih ingat, musim itu pakaian semuanya lembap. kain baju lembap tersidai di sana sini. baunya juga kurang enak. hapak. aku harus ketemu penyelia. jumpa nant.

9 nov 06
10.00am

selamat pagi buat kamu. pagi ini indah. andai sebenarnya ia buruk sekalipun, akan ku cuba mengindahkannya. kamu sihat? aku kurang selesa pagi ini. sejak semalam perut sakit. sakit biasa. aku terlebih makan. kelakar bukan? sememangnya aku begini. aku tidak boleh makan terlalu banyak. tidak boleh makan terlalu sedikit. tidak boleh terlewat makan. juga tidak boleh terawal makan. terlalu sensitif aku kira. bonda kata perut aku dimasuki angin. ubatnya hanya minyak panas. kadang2, semalamam sudah pulih. tp, andai dia degil berhari hari aku sakit. perut manja. seperti tuannya juga. erm.. aku manja eh?

12.30pm
aku kebingungan sekarang. aku melihatnya sebagai sesuatu yang penting. tapi sebenarnya ia adalah perkara yang dicipta untuk dilihat sebagai penting. aku yang teralu melihat ianya sebagai penting sehinggakan terlupa pada apa yang sememangnya penting yang berselindung disebalik. meskipun aku tahu apa yang berselindung disebalik itu, aku masih ingin mengatakan bahawa yang aku lihat itu lebih penting. minda aku sepenuhnya boleh menerima kepentingan tersebut. tapi hati??? sukarnya mengarah hati agar dikawal akal..

2.16pm
kl hujan lagi. mesti kamu terdetik.. aku ini tak habis-habis dengan kl yang hujan. tapi itulah kebenarannya. dan aku sukakan hujan. aku sukakan bau tanah yang naik bila hujan. bau rumput yang segar. bau jalan tar. tapi di kl, itu bau-bau itu hilang. entah ke mana. lantas, bila hujan.. aku rindu. rindu pada tempat itu. rindu pada saat itu..

No comments: